Saturday, March 14, 2009

Perjuangan yang Mengasyikkan

Anak-anakku...
Walaupun ayahanda tidak mempunyai segunung intan atau selembah emas, namun ingin rasanya ayahanda memberikan seribu kesenangan pada kalian. Ingin rasanya ayahanda jadikan anakanda semua hidup bahagia dengan kesenangan yang anakanda semua impikan. Namun semua itu hanya keinginan ayahanda. Ayahanda cuma mengharap namun kudrat tidak menyokongnya.
Apa yang ayahanda mampu berikan hanya secebis ilmu yang ayahnda miliki, sekelumit masa yang ada pada ayahanda dan bait-bait kata yang ternaskah di minda. Selagi ada tenaga dan masa, selagi nyawa dikandung jasad, tidak akan ayahanda belakangkan amanah yang tertanggung ke bahu ayahanda.
Walau hanya segelas Coke seorang, sebungkus keropok atau sepasang chewing gum, semua itu akan ayahanda kongsikan. Walau hanya seketul ayam KFC untuk yang berjaya, dan nasihat menutur iktibar, semua itu untuk anakanda. Biarlah harta jadi penghalang atau kuasa jadi sempadan, akan ayahanda usahakan segala untuk kamu semua. Walau nilai langkah ayahanda dari tanah pusaka ke gedung ilmu kita cuma RM 74 sahaja, ayahanda tetap berjuang.
Anak-anakku, ayahanda dahagakan kejayaan jadi milik anakanda semua, kegemilangan jadi pameran di rumah. Biar seluruh Song tidak memandang, tiada ayahanda terkilan, asal anakanda semua mampu jadi insan berguna.
Tabahlah anakanda sebagaimana ayahanda tabah bersama.